Tiada saksi tampil sahkan dakwaan lori elak kenderaan keluar simpang

Tiada saksi tampil sahkan dakwaan lori elak kenderaan keluar simpang

KEADAAN trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori batu yang terbabit kemalangan maut di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan Perak, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN:  Polis mengesahkan tiada saksi tampil bagi menyokong dakwaan bahawa pemandu lori muatan batu yang terlibat dalam kemalangan tragik membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) cuba mengelak sebuah kenderaan dari simpang sebelum merempuh trak FRU berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima berkaitan dakwaan tersebut yang dibuat oleh seorang pekerja gerai makan.

“Siasatan kes ini telah selesai dan pertuduhan juga telah dibuat ke atas pemandu lori tersebut semalam.

“Setakat ini, saksi yang mengatakan ada melihat (lori mengelak kenderaan melintas) belum tampil (beri maklumat) kepada pihak polis. Sekiranya ada, kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi tujuan perbicaraan,” katanya dalam sidang akhbar di Hospital Teluk Intan di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang wanita yang bekerja di gerai makan berhampiran mendakwa melihat lori berkenaan cuba mengelak sebuah van yang keluar dari simpang ke arah Chikus, sebelum terbabas dan merempuh trak FRU di laluan bertentangan.

Menurut wanita itu, kejadian tersebut dilihat dari gerai makan tempatnya bekerja yang terletak bertentangan dengan simpang menghala ke Chikus.

Menurut Zulkafli, setakat ini seramai 16 individu termasuk pemilik syarikat lori telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian Selasa lalu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, sembilan anggota FRU maut selepas trak yang mereka naiki dirempuh sebuah lori muatan batu yang dipercayai mengalami masalah stereng. Mangsa terdiri daripada anggota Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh yang dalam perjalanan pulang selepas penugasan sempena perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN