KUALA LUMPUR : Pelakon, Edika Yusof mendakwa dia tidak pernah berniat untuk menceraikan isterinya melalui ungkapan-ungkapan yang kononnya merujuk kepada perkara itu sebagaimana didakwa Nor Hidayah Yusri.
Menurut Edika, bekas isterinya itu telah tersalah tafsir mengenai perkara itu lalu menyebabkan wanita berkenaan nekad memfailkan permohonan perceraian.
Jelas Edika, perkara berhubung perpisahan yang disuarakan hanya sebagai pertanyaan, bukannya lafaz talak seperti dikemukakan wanita terbabit.
“Dia katakan tadi pun dia mohon cerai disebabkan hukum, tapi kebanyakan orang tidak tahu macam mana talak itu jatuh. Talak itu tak jatuh disebabkan kemarahan ataupun dalam keadaan makan ubat atau tidak sedar diri, jadi talak pun ada SOP, mahkamah ada aktanya.
“Saya hanya nak didik isteri dengan bertanya apa yang awak mahukan sebenarnya, awak mahu saya lepaskan awak atau ceraikan awak, selagi awak gembira, dan perkataan itu disalah tafsir, dia menganggap perkataan sebegitu adalah talak.
“Saya tanya pada mahkamah, perkataan talak kena dilafazkan dalam keadaan waras dengan sebutan yang betul seperti di mahkamah sebentar tadi. Bila tak cukup ilmu pengetahuan, apabila bertengkar dialog sebegitu akan keluar dalam keadaan marah tapi jujurnya saya tiada niat bercerai,” katanya.
Edika berkata demikian semasa ditemui pemberita di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Terdahulu, pada Februari lalu Nor Hidayah memfailkan perceraian terhadap Edika di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sebutan permohonan itu berlangsung pada 23 April lalu, namun talak tidak boleh dilafazkan kerana Nor Hidayah dalam keadaan tidak suci.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 dan dikurniakan sepasang cahaya mata Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20.
Nor Hidayah juga memiliki seorang anak lelaki hasil perkahwinannya yang terdahulu.