Tiada keperluan untuk berdebat - Fadhlina

Tiada keperluan untuk berdebat – Fadhlina

FADHLINA Sidek ketika ditemui pada Majlis Temu Rapat Akar Umbi Zon Selatan di Seremban semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada keperluan untuk debat dilakukan bagi tujuan merebut jawatan dalam Pemilihan PKR kali ini.

Menurut Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, keutamaan ketika ini adalah untuk memperkukuhkan parti dan menumpukan kepada suara akar umbi.

“Jawapan saya sama dengan Nurul Izzah (Anwar) tidak ada keperluan. Sekarang ini fokus kami adalah untuk memperkukuhkan parti.

“Semua seruan-seruan itu yang kita telah pun bawa bersama adalah untuk terus memperkukuhkan parti dan memberikan sokongan penuh kepada presiden parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Temu Rapat Akar Umbi Zon Selatan di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai pelawaan debat terhdapnya oleh calon Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail mengenai masa depan wanita.

Mengulas lanjut mengenai budaya debat dalam kalangan ahli politik semasa pemilihan, Fadhlina menyatakan debat itu merupakan perkara (langkah) yang baik sekiranya ingin membahaskan isu-isu dasar.

“Tapi dalam keadaan sekarang, kita mahu berikan tumpuan dalam konteks bahawa parti ini lebih utama, daripada segi kesatuan, kekuatan dan mengukuhkan kembali parti ini.

“Kita nak tumpu kepada akar umbi kita, memberikan mereka keyakinan bahawa pemilihan kali ini adalah soal untuk memastikan pimpinan yang mereka pilih itu adalah benar-benar membawa suara akar umbi dan memperkukuhkan parti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR buat masa ini sudah pun membentangkan sebahagian daripada hala tuju serta sasaran untuk penyertaan wanita serta anak muda sebanyak 40 peratus dalam politik.

“Jadi ini adalah gabungan yang saya fikir inklusif dan sangat penting untuk negara ketika ini. Ketika kita memerlukan yang kita sebut sebagai wajah politik baru dan meneruskan pengaruh serta juga peranan keadilan dalam masyarakat untuk membawa mesej reformasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN