GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang memberi jaminan bahawa proses pemilihan jawatankuasa kariah masjid di negeri ini berlangsung secara telus dan bebas daripada sebarang campur tangan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid menegaskan, ini kerana, tatacara pencalonan dan pelantikan jawatankuasa telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengikut peruntukan undang-undang yang telah diluluskan.
”Bagi memastikan tiada sebarang campur tangan yang tidak wajar dalam pemilihan ini, maka, pencalonan perlulah dicadangkan oleh seorang pencadang dan disokong sekurang-kurangnya oleh seorang penyokong yang ditentukan sendiri oleh ahli-ahli kariah dalam mesyuarat agong pencalonan,”katanya.
Mohamad (PKR-Batu Maung) menjawab soalan daripada Mohd Yusni Mat Piah (Pas -Penaga) mengenai proses pemilihan pengerusi dan jawatankuasa masjid di negeri ini ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Menurut Mohamad, antara syarat utama pencalonan ialah, calon perlu tinggal tetap dalam kariah masjid sekurang-kurangnya selama tiga bulan serta wajib hadir ke mesyuarat pencalonan.
Tambahnya, Tatacara Pencalonan Jawatankuasa Kariah Negeri Pulau Pinang 2024 telah dibentang dan diluluskan oleh MAINPP pada 18 November 2024 dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2 Disember 2024.
”Urusan pelantikan bagi sesi 2026 hingga 2028 akan diurus sepenuhnya oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP),” katanya.
Ketika mengulas mengenai pelantikan bagi Masjid Negeri dan masjid-masjid daerah pula, beliau berkata, struktur baharu yang diluluskan pada September 2024 menetapkan bahawa Pengarah JHEAIPP akan menjadi Pengerusi Masjid Negeri, manakala Pegawai Tadbir Agama Daerah pula akan mengetuai masjid daerah.
”Ahli jawatankuasa masjid peringkat negeri dan daerah akan turut melibatkan penjawat awam dari pelbagai agensi termasuk PDRM, JKR, Jabatan Pendidikan, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan serta wakil-wakil surau dalam kariah berkaitan.
”Justeru, MAINPP berharap agar jawatankuasa yang dilantik nanti dapat membantu mentadbir kariah selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Pindaan 2023) dan memperkukuhkan perpaduan serta kebajikan masyarakat Islam dalam kawasan masing-masing,” katanya – UTUSAN