MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) akan melaksanakan badal haji buat dua jemaah Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung pada Jumaat dan semalam di sini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, di sini.
“TH akan laksanakan badal haji buat arwah pada musim haji tahun ini. TH dan seluruh jemaah haji Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris selain mendoakan segala amal ibadat mereka berdua diterima Allah SWT,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Seramai 141 jemaah menerima rawatan di Pusat Rawatan TH dan Hospital Arab Saudi melibatkan masalah saluran pernafasan, penyakit (ENT) telinga, hidung dan tekak, penyakit tulang dan otot, penyakit kulit dan penyakit gastrointestinal.
Seramai 12 menerima rawatan di Hospital Arab Saudi dengan masing-masing lapan orang di Mekah dan empat di Madinah.
“Pusat Rawatan TH di Madinah mendapat kelulusan permit (Tasrih) daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi yang diselaraskan oleh pihak Hospital Saudi German,” katanya.
Malaysia negara ketiga mendapat kelulusan beroperasi bagi sektor Madinah.
“Kerjasama strategik dengan Hospital Saudi German bermula pertama kali tahun ini untuk memenuhi syarat Kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan semua Rombongan Rasmi Haji melantik syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan swasta tempatan bagi mendapat kelulusan membuka Pusat Rawatan dan klinik,” katanya.
Dalam pada itu, jemaah haji Malaysia dinasihatkan memakai pelitup muka ketika berada di luar bangunan penginapan berikutan cuaca berdebu dan tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap 180.
Jemaah dinasihatkan mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas dan sentiasa menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka.
“Kita akan maklumkan kepada jemaah haji menggunakan kumpulan WhatsApp berhubung IPU.
“Menjaga kesihatan penting terutama untuk kita menghadapi Hari Wukuf dalam masa dua minggu lagi,” katanya.
Seramai 18,453 jemaah haji Malaysia selamat tiba di tanah suci setakat ini dengan 17,053 berada di Mekah, manakala 1,400 masih berada di Madinah. – UTUSAN










