MELAKA: Seorang pemilik warung capati di Kampung Bukit Kechil, Pernu di sini tergamam apabila terserempak seekor buaya di tebing Sungai Umbai di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Abu Shah Hashim, 57, atau lebih dikenali penduduk sebagai Pak Abu sedang melakukan kerja memotong rumput di sekitar warung miliknya yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi reptilia itu muncul.
Menurutnya, kelibat buaya sepanjang kira-kira satu meter itu muncul secara tiba-tiba di permukaan dan diam seketika di tebing ketika dia sedang membersihkan kawasan warung.
“Saya nampak buaya itu timbul sekejap di tebing sungai. Bila dia sedar ada manusia, terus bergerak ke arah laut sebelum tenggelam dan tidak muncul lagi.
“Saya rakam sekejap guna telefon sebab hendak tunjuk bukti pada orang kampung. Memang betul-betul nampak dengan mata sendiri,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, buaya berkenaan mungkin reptilia yang sama pernah dilihat penduduk tahun lepas.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya sedang mengambil langkah awal untuk menyiasat kejadian tersebut.
“Kami akan turun ke lokasi untuk siasatan awal. Tindakan selanjutnya bergantung kepada hasil siasatan sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.
Kejadian itu menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk kampung yang khuatir dengan keselamatan pengunjung dan pemancing yang sering berada di sekitar sungai berkenaan. – UTUSAN