Ternyata, masih ada orang baik di luar sana - Dayah Bakar - Utusan Malaysia

Ternyata, masih ada orang baik di luar sana – Dayah Bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengacara dan personaliti media sosial, Dayah Bakar meluahkan rasa syukur apabila dirinya dibantu oleh orang yang tidak dikenalinya dan menyifatkan pertemuan itu sebagai satu pengajaran untuknya.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Dayah atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar berkongsi pengalamannya dilayan dengan sangat baik oleh gadis muda yang dikenali sebagai Hidayah, ketika menaiki penerbangan bersama anak-anaknya.

“Saya naik kapal terbang bersama anak-anak. Ketika hendak naik tangga, ada seorang gadis tawarkan diri hendak tolong angkat beg.

“Saya tolak pada mulanya, tetapi dia tetap tunggu dan bantu walaupun sehingga turun dari pesawat.

“Saya benar-benar tersentuh dengan keprihatinan dan budi baik yang ditunjukkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Dayah berkongsi insiden yang paling tidak disangka berlaku iaitu apabila gadis itu menawarkan diri untuk menghantarnya pulang setelah mengetahui pengacara itu pulang menaiki kenderaan awam.

“Dia menawarkan untuk hantar kami pulang selepas tahu saya balik naik kenderaan awam. Dia kata rumahnya dekat dan tidak bekerja keesokan harinya.

“Ketika itu, saya macam, adakah ini benar-benar berlaku? Buat pertama kali dalam hidup, saya terus terima pelawaan tersebut kerana dapat rasakan keikhlasan dia membantu saya,” jelasnya.

Tambahnya, melalui kejadian tersebut, dia membuat refleksi tentang kemanusiaan dan sentiasa yakin bahawa masih wujud perkara-perkara baik yang Tuhan berikan walaupun sentiasa diberi ujian.

“Saya rasa Ya Allah, masih ada orang baik yang kita tidak jangka. Perkara itu membuatkan saya mempersoal kehidupan saya sebelum ini yang mungkin ada salah silapnya juga peringatan Allah kepada saya.

“Kejadian ini juga membuatkan saya ingin terus melakukan kebaikan kepada orang di luar sana kerana tidak tahu bila lagi Allah akan memberi kita pertolongan melalui orang lain.

“Kadang-kadang perkara yang kita tidak jangka berlaku, boleh berlaku selagi kita letak kepercayaan dan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada orang lain. Teruskanlah membuat kebaikan,” ujarnya.

Menerusi hantaran yang sama, Dayah sempat berterima kasih dan mendoakan gadis itu sentiasa dipermudahkan urusan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN