GEORGE TOWN: Dua pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah bernilai RM54,000 pada tahun lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan di Mahkamah Sesyen di sini oleh Hakim Juraidah Abbas.
Terdahulu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 35 dan 62 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pada pukul 8.49 pagi dengan memakai baju lokap berwarna jingga dan dilihat meninggalkan mahkamah kira-kira pukul 10.02 pagi.
Difahamkan, mereka sebelum itu telah ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Penahanan suspek itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, kedua-dua suspek didakwa menerima wang rasuah daripada seorang individu bernilai RM54,000 sebagai balasan membuat permohonan lesen penjaja sementara sempena Tahun Baharu Cina 2024. – UTUSAN