PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai PKR.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu dibuat setelah meminta nasihat dan pandangan dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi.
Pada masa yang sama, beliau tirut menyatakan hasrat dan niat untuk menyertai PKR.
“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan UMNO.
“Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
“Pada masa yang sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Tengku Zafrul didakwa akan berpindah parti dari UMNO kepada PKR selepas terdapat dakwaan penyusunan kemasukannya ke parti itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan pihaknya mengutamakan rundingan antara kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk antara Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) bagi menjaga keharmoniannya.-UTUSAN