TEMERLOH: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 46 penerima sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang, di sini.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Majlis istiadat itu berlangsung di Dewan Tun Razak di sini, dengan mendahului senarai penerima ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali yang menerima darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima anugerah ialah Pengarah Pembinaan Sujaman Sdn. Bhd., Datuk Indera Lee Wah Lian yang dianugerahkan darjah kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera.
Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk pula dikurniakan kepada Pengarah Maritime Survey And Service Sdn. Bhd., Datuk Suhaila Semaru.
Sementara itu, seramai 23 penerima menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk, antaranya Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Datuk Mohd. Arifin Tengku A. Rahman; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd. Sharim Md. Zain dan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Rizal Ali@Jaafar.
Turut menerima anugerah sama ialah Timbalan Pengarah Kanan SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib; Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Khusairi Ahmad Fadli TUDM; Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Datuk Norli Hisham Alwi TUDM serta beberapa tokoh korporat, akademik dan pegawai kanan tentera.

Empat penerima menerima Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) iaitu Kolonel Zulkefli Samsu Hadi TUDM; Asisten Komisioner Polis Azli Mohd. Noor; Superintenden Polis Mohamad Ra’ayim Haji Jemakir dan Aminuddin Ab. Rahman.
Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) pula dikurniakan kepada Asisten Superintenden Polis Husni Azumi Hussain dan Che Farhan Che Mansor, manakala tujuh penerima dikurniakan Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP).
Mereka ialah Mejar Syaiful ’Ammar Suhaimi; Deputi Superintenden Polis Mohd. Azlizan Jamaludin; Asisten Superintenden Polis Ameerul Asraf Ghazali; Inspektor Muhammad Suffian Ismail; Inspektor Mohamad Khairul Syafawie Abdul Yusof; Puan Putri Farhan Najwa Megat Daud dan Zhameir Shafiq Mohd. Ilias.
Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) pula dianugerahkan kepada empat penerima dan tiga lagi menerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT). – UTUSAN