PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sesi ‘Temu Anwar’ sebagai satu platform penting untuk beliau bertemu secara langsung dengan rakyat, khususnya golongan belia dan mahasiswa.
Perdana Menteri berkata, program itu membuka ruang kepada anak muda untuk bertanya soalan, menyuarakan pandangan serta mengemukakan cadangan secara terbuka kepada pucuk pimpinan negara.
“Dalam sesi ‘Temu Anwar’ di Management and Science University (MSU), saya menekankan kepentingan Kecerdasan Buatan (AI) dan peralihan tenaga iaitu dua bidang yang kini menjadi fokus utama perbincangan di peringkat global.
“Namun begitu, dalam kita meneroka bidang teknologi canggih seperti AI dan digital, saya mengingatkan supaya kita terus berpegang teguh kepada nilai budaya, akhlak dan akidah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, nilai-nilai itu menjadi asas keharmonian masyarakat dan penting dalam memastikan keseimbangan dalam pembangunan insan sejajar kemajuan negara.
Beliau berkata, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) kini sedang merangka program lanjutan bagi memperkasa Program Felo Perdana sebagai inisiatif membuka lebih banyak peluang kepada anak muda menimba pengalaman secara langsung daripada barisan kepimpinan negara.
Menyentuh isu ketidaktentuan tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS), Anwar berkata, kerajaan kekal komited untuk melindungi ekonomi negara melalui tindakan pantas, cekap dan kreatif.
Beliau turut menggesa sektor awam supaya mengutamakan penggunaan sumber tempatan demi memperkukuh daya tahan industri domestik.
“Bersama-sama kita melangkah ke hadapan dengan semangat patriotisme, menjunjung nilai-nilai murni dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang bukan sahaja maju dari segi teknologi, tetapi juga teguh dari segi jati diri, perpaduan dan kemanusiaan,” katanya.-UTUSAN