Teater ‘Journey to the best’ platform bantu komuniti autism dan kanser

Teater ‘Journey to the best’ platform bantu komuniti autism dan kanser

OON Eu Jin (tengah), Nurulhidayah Ahmad Zahid (tiga dari kiri) bersama guru dan pelajar selepas sidang akhbar di Aspiration International School di ibu negara, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persembahan amal bertajuk ‘Journey to the Best’ anjuran Aspiration International School bersama Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM) dan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) tampil sebagai suatu usaha menggabungkan dunia seni dan nilai-nilai kemanusiaan.

Acara yang bakal berlangsung pada 12 Julai ini di Menara Ken Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bukan sekadar menonjolkan bakat pelajar tetapi menjadi medium mengutip dana untuk disalurkan kepada komuniti autism dan kanser melalui penjualan tiket.

Pengerusi Lembaga Gabenor sekolah, Oon Eu Jin berkata, program itu menjadi bukti bahawa seni bukan sahaja mencorakkan kreativiti, malah membentuk masyarakat yang prihatin dan bersatu.

“Journey to the Best lebih daripada sekadar pementasan. Ia membawa mesej tentang persahabatan, ketabahan, keberanian dan kepercayaan. Semua ini dapat digambarkan melalui lakonan pelajar yang berusaha mendapatkan Book of Enlightenment, simbol kepada kebijaksanaan dan harapan,” katanya dalam sidang akhbar kelmarin.

Beliau berkata gabungan pelajar daripada bidang teater, orkestra dan koir menunjukkan komitmen luar biasa demi menjayakan persembahan itu.

Sementara itu, tetamu jemputan yang juga anak Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah yang turut memberi sokongan kepada program tersebut menyatakan bahawa acara itu menjadi lambang harapan dan kasih sayang dalam masyarakat.

“Acara ini bukan hanya tentang meraikan bakat pelajar, tetapi menyatukan komuniti melalui seni dan muzik. Ia memberi peluang kepada kita semua untuk sama-sama memainkan peranan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih, pelajar serta penaja yang komited menjayakan inisiatif itu, dan berharap acara tersebut mendapat liputan meluas daripada pihak media serta sokongan padu orang ramai.

“Kita bukan sekadar mahu menjayakan acara ini, tetapi ingin mencipta satu kesan jangka panjang yang mampu mengubah kehidupan insan lain,” katanya.

Yang turut hadir, Setiausaha Kehormat Lembaga Pengurusan Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM), Cason Ong, dan Pengarah Pemasaran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Yeap Chong Wei. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN