PETALING JAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal dilengkapi kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV) empat roda Tarantula buatan tempatan.
Syarikat automotif pertahanan tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF) dalam kenyataan berkata, sebanyak 136 buah Tarantula akan dioperasikan TDM.
“Menerusi edisi penganjuran LIMA kali ini, MILDEF dijangka akan memeterai kontrak bagi pembekalan 136 unit Tarantula kepada TDM.
“Ia sekali gus membuktikan kemampuan dan kepercayaan Kementerian Pertahanan kepada MILDEF dalam melaksanakan projek berskala besar dengan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan kerajaan,” katanya semalam.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyatakan secara terperinci berhubung kontrak berkenaan.
Tarantula seberat 14 tan mampu beroperasi pada suhu serendah -21 darjah Celsius hingga 49 darjah Celcius dengan kelajuan maksimum 110 kilometer/jam(km/j)
Kenderaan ini dibina dengan menggunakan kemahiran anak tempatan dalam tempoh empat tahun penyelidikan dan pembangunan dengan belanja sebanyak RM16 juta. – UTUSAN