Tambah lagi satu malam, hari keempat penutup Konsert GenKRU di Malaysia - Utusan Malaysia

Tambah lagi satu malam, hari keempat penutup Konsert GenKRU di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raih sambutan luar biasa, kumpulan ikonik, KRU akan terus menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil menerusi Konsert GenKRU pada 11 Mei ini.

Pengumuman tersebut telah dikongsikan oleh penganjur Icon Entertainment, Iman Tang menerusi sebuah hantaran di Instagram, malam tadi.

“Satu fenomena yang mencipta rekod tersendiri. Satu Axiata Arena terhipnosis dengan lagu-lagu, gerak tari malah ‘vibe’ yang diberikan antara KRU dan peminatnya.

“Satu malam akhir yang pasti malam penutup terhadap kegilaan ini. Anda minta, kami rela sediakan konsert hari keempat,” katanya di kapsyen.

Dalam perkongsian tersebut, pihak Icon Entertainment turut memaklumkan penjualan tiket untuk hari keempat itu akan mula di jual pada hari ini dengan harga serendah RM258 hingga RM588.

Sejak Sabtu lalu, konsert kumpulan yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim itu berjaya mencipta sejarah bermakna buat peminat yang hadir.

Dengan kehadiran seramai 9,000 penonton, para peminat turut pulang dengan senyuman puas setelah menyaksikan kumpulan ikonik itu mendendangkan 20 buah lagu sekali gus menjadi tanda aras 33 tahun kerjaya seni mereka dalam industri seni.

Lebih menarik lagi, KRU turut membawa kumpulan Elite yang dianggotai Abby Abadi, Sasha Saidin, Watie Sadali, Azza Zawari dan Linda Rafar serta penyanyi, Adam bersama-sama memeriahkan Konsert GenKRU di Axiata Arena.

Sebelum ini, KRU mengumumkan mereka akan melangsungkan konsert GenKRU selama tiga hari iaitu pada 3, 4 dan 10 Mei.

Malah, kumpulan yang menyanyikan lagi Fanatik itu juga akan melabuhkan tirai persembahan mereka di konsert GenKRU di The Star Theatre, Singapura pada 28 Jun depan.

Kemunculan tiga adik-beradik di pentas mega itu turut mengubati kerinduan dalam kalangan peminat selepas mereka membuat keputusan untuk bubar pada tahun 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN