LOS ANGELES: Penyanyi, Miley Cyrus, mendedahkan pembengkakkan pita suara (Reinke’s Edema) sebagai punca yang membuatkan suaranya kedengaran besar dan serak.
Kata Miley, keadaan itu merupakan perkara unik yang dia alami sejak usia kecilnya.
”Memang saya kuat merokok, minum alkohol dan selalu berseronok pada usia 21 tahun. Tapi itu bukan punca suara saya kedengaran garau.
”Suara saya sejak dahulu memang kedengaran seperti ini. Ia sebahagian daripada kejadian semula jadi tubuh saya,” kongsinya.
Dalam masa yang sama, penyanyi lagu Flowers itu memaklumkan tidak akan melakukan pembedahan untuk mengubah keadaan itu.
”Memang wujud ketumbuhan (polip) yang besar pada pita suara saya tetapi saya tidak akan membedahnya kerana saya tidak mahu suara saya berubah,” katanya lagi.
Miley dalam pada itu mengakui berdepan kesukaran menyanyi secara live dengan kadaan tersebut yang diibaratkan seperti menyertai larian maraton dengan pemberat di kaki.
”Jika membuat persembahan, saya akan menyanyi live, bukan lip sync sebab lagu-lagu saya memerlukan vokal yang besar untuk dinyanyikan,” kongsinya.- UTUSAN