KUALA LUMPUR: Taktik licik segelintir pemilik premis perniagaan di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menyediakan ruang khas bagi menyembunyikan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika serbuan pihak berkuasa terbongkar dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia hari ini.
Difahamkan, antara lokasi yang dijadikan tempat persembunyian termasuk stor barangan, bilik persalinan pakaian, di bawah tangga dan tandas awam yang diubah suai.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya mendapati terdapat cubaan menyembunyikan PATI di ruang-ruang yang dilihat sengaja disediakan atau dirancang bagi tujuan tersebut.
“Bukan hanya menyembunyikan individu, ada juga cubaan menyembunyikan dokumen dan barangan milik pekerja asing itu di dalam tempat sulit bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan, di sini hari ini.
Menurutnya, dalam operasi bermula pukul 2.30 petang itu, seramai 143 warga asing termasuk 33 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Keseluruhan 964 individu diperiksa dalam operasi dua jam itu yang disertai 106 pegawai dan anggota imigresen dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Taktik menyembunyikan PATI dipercayai dirancang awal oleh pihak majikan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya premis mereka diserbu pihak berkuasa,” katanya.
Jelas Jafri, risikan selama tiga minggu menunjukkan ramai warga asing berkenaan sebenarnya bekerja di dalam premis-premis di kompleks ini dan tidak mempunyai dokumen sah.
“Mereka cuba berdalih kononnya hanya datang membeli-belah, namun pemeriksaan lanjut mendedahkan mereka merupakan pekerja di premis tersebut,” katanya.
Beliau berkata, antara yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (24 lelaki, 32 perempuan), Bangladesh (26 lelaki), Pakistan (32 lelaki), India (10 lelaki), Myanmar (10 lelaki), Nepal (tiga lelaki), Syria (empat lelaki), China (seorang perempuan) dan Afghanistan (seorang lelaki), berusia antara 22 hingga 48 tahun.
Tambahnya, kesalahan yang dilakukan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas lawatan.
“Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut. Kita juga akan kenal pasti pemilik premis yang bersubahat menyediakan tempat persembunyian ini untuk dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Sementara itu, Jafri berkata, lebih 5,000 operasi telah dilaksanakan JIM dengan jumlah tangkapan PATI mencecah 34,615 orang setakat 15 Mei.
“Tahun ini merupakan tahun penguatkuasaan dan operasi seperti ini akan terus dilaksanakan secara agresif di seluruh negara,” ujarnya. – UTUSAN