MADINAH: Semua bakal jemaah haji Fasa 1 bermula penerbangan pertama KT01 sehingga KT45 yang tiba di Madinah bakal diberikan taklimat keberangkatan sehari sebelum mereka menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Pengurus Zon 2 Madinah, Shahidan Ishak berkata, objektif bagi pengurusan zon 2 di Hotel Emaar Royal bukan sahaja mengurus penginapan, program-program ziarah dalam dan luar di Madinah, malah memberi persediaan kepada mereka sebelum berangkat ke kota Mekah.
“Kita menyediakan persiapan awal ke arah jemaah mendapatkan haji yang mabrur. Taklimat keberangkatan ini disediakan kepada bakal haji sebelum mereka bertolak ke Mekah.
“Taklimat tersebut secara rasmi akan diberikan kepada semua bakal haji (fasa 1 yang tiba di Madinah) sehari sebelum mereka bertolak ke Mekah. Contohnya KT01 bakal bertolak pada 4 Mei jadi pada 3 Mei (hari ini) itu kita akan beri taklimat,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata, dalam taklimat tersebut bakal jemaah haji akan dimaklumkan apakah persediaan mereka dari segi persediaan untuk pelaksanaan umrah, memakai ihram, niat umrah di mana sebelum ke Mekah.
“Tanpa taklimat keberangkatan ini mungkin jemaah haji tertanya-tanya bagaimanakah persediaan mereka serta kelengkapan yang mereka perlu ada sebelum bertolak ke Mekah nanti.
“Jadi taklimat itu nanti akan diberikan oleh anggota zon, dibantu anggota bimbingan dan ziarah di Madinah. Ini bagi memastikan ibadah umrah bakal haji yang hendak dilaksanakan nanti lancar dan sempurna,” katanya.
Jelasnya, semua jemaah bakal haji boleh merujuk kepada kaunter bimbingan dan ziarah di bahagian pejabat operasi di Hotel Emaar Royal.
“Pembimbing ibadat yang kita sediakan ini boleh menjawab sebarang pertanyaan bakal-bakal haji,” katanya.
Menurutnya, di zon 2, Hotel Emaar Royal seramai lapan petugas zon dibantu lima Pembantu Petugas Haji (Patuh) selain disokong dengan bantuan daripada unit bimbingan dan ziarah, unit kaunseling, unit-unit khidmat luar dan unit lain sebagai nadi kepada operasi di Madinah.
Ujarnya, persediaan tahun ini dapat dilihat dari segi penambahbaikan susun atur pergerakan jemaah masuk ke zon.
“Kita nampak pihak pengurusan Tabung Haji telah membuat susunan lebih baik sebagai contoh kalau dilihat kumpulan jemaah KT01 masuk ke Hotel Emaar Royal (zon 2), manakala KT02 dan KT03 masing-masing ditempatkan di zon 1 iaitu di Hotel Saja Al Madinah dan Hotel Anwar Al Madinah Movenpick.
“Dengan perancangan dan aturan lebih baik ini akan memudahkan operasi zon,” tambahnya.-UTUSAN