PETALING JAYA: Semakin menjadi-jadi, kemesraan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bersama pelakon, Bella Astillah terus menuai perhatian warganet.
Terbaharu, Syed Saddiq menganggap dirinya sudah lama mengenali aktres itu walaupun baru beberapa bulan berkenalan.
Kenyataan spontan itu dikongsikan oleh ahli politik tersebut apabila pelakon, Aidil Aziz bertanya kepadanya sudah berapa lama mengenali ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
“Walaupun sementara, tapi rasa macam selama-lamanya,” katanya nenerusi sebuah video yang tular.
Menerusi perkongsian itu juga, Bella turut kelihatan tersipu malu mendengar ‘pickup line’ Syed Saddiq yang seolah memberi bayangan status hubungan mereka kini.
Difahamkan, momen tersebut dirakam Aidil ketika menghadiri majlis resepsi pelakon, Eyka Farhana dan pemain bola sepak, Akhyar Rashid, baru-baru ini.
Sementara itu, perkongsian tersebut turut mengundang keterujaan dalam kalangan warganet di ruangan komen yang rata-ratanya berharap hubungan mereka membawa ke jinjang pelamin.
“Tak minta banyak, jom sama-sama doakan yang baik-baik untuk Bella Syed Saddiq. Saya bukan peminat mereka tapi saya mahu Bella bahagia, lebih bahagia dari perkahwinan pertama,” komen seorang netizen.
“Untung Bella kalau dapat seorang yang bijak pandai kacak, gentleman. Pakej lengkap,” kata seorang peminat mereka.
Keakraban pasangan itu mula menjadi sorotan dalam kalangan netizen selepas mereka kerap dilihat bersama sejak menjadi duta kepada sebuah jenama pakaian tempatan.
Sama cantik, sama padan, kemesraan yang terjalin juga mencetuskan sebuah fenomena yang digelar BASS di media sosial.
Bagaimanapun, sehingga kini Bella mahupun Syed Saddiq tidak memberi sebarang pengesahan terhadap hubungan mereka yang didakwa sedang hangat bercinta. -UTUSAN