KUANTAN: Seorang suri rumah dan rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pisau terhadap seorang wanita warga emas di Felda Chini Timur 1, Pekan, dua bulan lalu.
Sri Farhana Nabila Mohd. Kamal, 27, dan Mohd. Fazlin Rahmat, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama merompak seutas rantai leher dan gelang tangan milik seorang wanita berusia 56 tahun dengan bersenjatakan sebilah pisau. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Felda Chini Timur 1, Pekan pada pukul 11.50 malam, 20 Mac lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Azizah Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira hubungan kekeluargaan antara tertuduh wanita dan mangsa.
Mahkamah kemudian memutuskan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 25 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN