Surau Al-Firdaus Presint 11F akhirnya siap dibina selepas 9 tahun

Surau Al-Firdaus Presint 11F akhirnya siap dibina selepas 9 tahun

mohd Na'im Mokhtar menyaksikan penyerahan kotak kunci Surau Al-Firdaus daripada pihak MAIWP kepada jawatankuasa surau di Presint 11, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas sembilan tahun menanti, Surau Al-Firdaus yang terletak di Presint 11F, Presint 11 di sini akhirnya siap dibina dan akan mula menerima jemaah solat kali pertama pada 1 Jun ini.

Majlis penyerahan kunci surau isempurnakan hari ini yang disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, pihaknya memohon maaf di atas kelewatan pembinaan surau ini disebabkan pelbagai faktor antaranya berpunca daripada perubahan pelan asal daripada bangunan setingkat kepada dua tingkat.

“Kapasiti asal adalah 1,000 jemaah, namun pertambahan semasa penduduk sekitar menyebabkan surau ini diperbesarkan.

“Jadi di situ peruntukan asal RM3 juta telah meningkat kepada RM6.8 juta dengan keluasan meningkat kepada 1,710 kaki persegi berbanding 710 kaki persegi,” katanya ketika ditemui pada majlis serahan kunci surau di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd. Fauzi Abidin menyerahkan kotak kunci surau kepada Pengerusi Surau Al-Firdaus, Noor Azidy Ishak sambil disaksikan Mohd Na’im.

Katanya, sejak dilantik menjadi menteri, beliau sendiri telah melawat tapak pembinaan surau ini tidak kurang 10 kali bagi memastikan surau ini dapat disiapkan segera.

Sementara itu, Noor Azidy berkata, pihaknya bersyukur kerana surau yang dinanti-nantikan sejak sembilan tahun lalu akhirnya dapat disiapkan tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memulakan solat Subuh pertama di surau ini pada 1 Jun ini malah, solat sunat Aidiladha juga akan dilakukan di sini pada pagi 7 Jun nanti.

“Surau ini bukan sahaja akan digunakan untuk keperluan solat bagi komuniti setempat sebaliknya akan dijadikan kelas agama dan lokasi agihan bantuan kebajikan,” katanya.

Pembukaan Surau Al-Firdaus itu sekali gus juga membantu mengelakkan kesesakan terutama di Surau Al- Furqan yang merupakan surau utama di sekitar Presint 11 ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN