TAIPING: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan kompleks bangunan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Larut Matang dan Selama di sini yang dibina dengan kos RM10.5 juta.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serat barisan Exco dan pemimpin negeri.
Ketika menyampaikan sembah ucapan, Shamsul Anuar berkata, JPN Daerah Larut Matang dan Selama itu merupakan satu daripada 20 pejabat yang beroperasi di Perak.
Jelasnya, pejabat itu merupakan gabungan daripada pejabat asal yang beroperasi di bangunan Wisma Persekutuan Taiping sejak tahun 1986 dan pejabat JPN Cawangan Kamunting yang beroperasi sejak tahun 2004 di mukim Kamunting.
Katanya, bangunan pejabat itu didirikan di kawasan seluas 40,468 meter persegi melalui peruntukan Rolling Plan keempat Rancangan Malaysia ke-11.
Menurutnya, pada tahun 2024, JPN Daerah Larut Matang dan Selama menerima 69,740 permohonan berbanding 41,804 pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan 40 peratus ini membuktikan bahawa perancangan JPN menambah baik fasiliti untuk keselesaan rakyat adalah sebagai langkah yang tepat,” katanya dalam majlis tersebut di sini hari ini.
Mengikut Jabatan Perangkaan, pada tahun 2024 jumlah penduduk daerah Larut Matang dan Selama telah meningkat 14 peratus iaitu sebanyak 313,400 orang berbanding 269,600 pada tahun 2020.
Kata Shamsul Anuar lagi, lokasi bangunan yang terletak di Simpang itu adalah strategik kerana berhampiran dengan Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) serta kawasan tanah yang luas.
“Reka bentuk moden, lokasi yang bersesuaian, ruang pejabat yang selesa dan fasiliti baharu menjadikan pejabat JPN Daerah Larut Matang dan Selama ini antara pejabat yang mesra pelanggan khasnya di Perak,” katanya. – UTUSAN