Sultan Nazrin lawat mangsa kemalangan trak FRU - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin lawat mangsa kemalangan trak FRU

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah semasa melawat anggota FRU yang cedera di Hospital Teluk Intan. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat melawat lima anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam nahas di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di sini, Selasa lalu.

Keberangkatan baginda ke Hospital Teluk Intan diiringi Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Datuk Meor Redwan Mahayudin dan Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Annuar Zaini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Feisul Idzwan Mustapha; Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus.

Baginda yang tiba sekitar pukul 11 pagi itu kemudiannya diiringi ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan untuk melawat empat anggota FRU yang menerima rawatan di wad berkenaan.

Mereka ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39; dan Sarjan Mohd. Parih Ali, 44.

Sultan Nazrin turut berkenan meluangkan masa menziarahi seorang lagi anggota, Koperal Mohamad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, yang ditempatkan di wad biasa hospital sama.

Dalam lawatan itu, baginda turut menyantuni keluarga anggota yang terlibat sambil bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat serta mengurniakan sumbangan peribadi sebagai tanda prihatin.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.

Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.

Kemalangan berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN