Sukar belajar kerana tiada MyKad, Henry Gurney

Sukar belajar kerana tiada MyKad, Henry Gurney beri peluang kedua

Adam merupakan penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi kategori SHG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kemasukan ke Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, lazimnya dianggap sebagai satu bentuk hukuman, namun bagi seorang penghuni yang mahu dikenali sebagai Adam, 19, ia membuka pintu kepadanya untuk belajar.

Adam yang merupakan penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi kategori SHG berkata, sebelum dimasukkan ke situ, dia berdepan kesukaran meneruskan pembelajaran di sekolah arus perdana kerana ketiadaaan kad pengenalan (MyKad) kerana lambat mendaftarkan kelahiran.

Katanya, situasi itu juga menyebabkannya gagal mendapatkan pinjaman buku teks, perlu membayar yuran sekolah yang tinggi dan tidak dapat menduduki SPM kerana status bukan warganegara.

“Peluang untuk saya belajar bersungguh-sungguh terbuka luas di SHG. Saya memang minat belajar tetapi berdepan masalah kerana tidak memiliki kad pengenalan. Terpaksa bayar yuran mahal, tidak dapat pinjaman buku teks dan tidak dapat mengambil peperiksaan SPM.

“Saya dimasukkan ke SHG pada 2022 atas kesalahan cabul. Selepas itu, peluang saya terbuka luas kerana akses pendidikan yang lebih mudah dan layanan sama rata dengan rakan-rakan lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Sekolah Integriti SHG (SISHG) 2024 di sini, hari ini.

Adam dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2024 bagi ketegori SHG susulan kejayaannya mendapat keputusan 6A.

Tambahnya, dia kini dalam proses mendapatkan sijil kelahiran bagi memudahkan urusan permohonan MyKad.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, bergelar warganegara sangat bermakna buat dirinya yang merancang untuk menyambung pelajaran di menara gading dalam jurusan undang-undang.

“Saya bercita-cita menjadi seorang peguam syarie kerana mahu membalas jasa ibu saudara yang menjaga saya sejak kecil selepas ibu bapa meninggal dunia. Sepatutnya dia datang lihat kejayaan saya hari ini tetapi kesihatannya tidak mengizinkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN