Suara rakyat mesti diambil kira dalam keputusan ASEAN – Anwar

Suara rakyat mesti diambil kira dalam keputusan ASEAN – Anwar

ANWAR Ibrahim bersama Wakil-Wakil antara Parlimen pada Sesi Libat Urus pemimpin ASEAN bersama Wakil-Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface), sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiap keputusan yang membentuk masa depan ASEAN mesti mengambil kira suara rakyat yang disuarakan melalui wakil-wakil rakyat yang dipilih di negara masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suara rakyat tidak boleh dipinggirkan dalam membentuk dasar serantau kerana Parlimen memainkan peranan penting dalam menyampaikan aspirasi sebenar masyarakat.

Katanya, suara rakyat yang dibawa ke Parlimen perlu diberi pertimbangan dalam kerangka pembentukan dasar serantau, terutama ketika ASEAN sedang berdepan cabaran geopolitik, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Suara rakyat yang diungkapkan melalui wakil rakyat pilihan mereka, mesti diambil kira dalam setiap keputusan yang akan membentuk masa depan rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan pembukaan Perjumpaan Pemimpin-Pemimpin ASEAN Bersama Wakil-Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (ASEAN-AIPA Interface) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Sesi itu dipengerusikan Anwar dan turut dihadiri Presiden AIPA merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta delegasi Parlimen dari negara-negara ASEAN.

Sesi tersebut menghimpunkan Ketua Negara dan kerajaan ASEAN serta Speaker dan Timbalan Speaker Parlimen daripada negara anggota dan Timor Leste, dengan tema “Parlimen Menerajui Pertumbuhan Terangkum dan ASEAN yang Mampan”.

Anwar berkata, penyertaan aktif institusi legislatif dan kerjasama erat antara Parlimen negara anggota menerusi AIPA adalah penting untuk memastikan pertumbuhan yang inklusif dan pembangunan mampan dapat dicapai.

Beliau berkata, AIPA perlu terus menjadi rakan strategik dalam pembinaan Komuniti ASEAN, khususnya dalam merealisasikan aspirasi rakyat dan memperkukuh daya tahan rantau ini.

Beliau turut menyifatkan AIPA sebagai platform penting untuk menjalin kerjasama rentas institusi yang mampu memperkukuh tadbir urus demokrasi serta menyatukan pandangan rakyat dalam kerangka pembangunan serantau.

“Kita menggalakkan komitmen berterusan AIPA dalam isu-isu utama seperti keterjaminan makanan, perubahan iklim, transformasi digital serta pembangunan ekonomi yang inklusif dan adil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN