PETALING JAYA: Suami kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu, ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa mengesahkan individu bergelar Datuk Seri itu ditahan di sekitar ibu negara.
Katanya, bagaimanapun permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret, Putrajaya ditolak.
“Ya, saya sahkan (penahanan). Dia ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes penculikan Pamela menjurus kepada kemungkinan suaminya serta beberapa individu lain sebagai suspek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan masih berjalan dan setakat ini pihaknya tidak menolak kemungkinan si suami adalah suspek, selain beberapa individu lain.
“Buat masa ini, kemungkinan (suami Pamela sebagai suspek) ke arah itu dan mungkin ada orang lain.
“Siasatan masih belum (lengkap) dan kita percaya ada orang lain kita ambil sebagai suspek juga,” katanya. – UTUSAN