Suami isteri cedera parah dirempuh pacuan empat roda

Suami isteri cedera parah dirempuh pacuan empat roda

TANGKAP layar video yang tular memaparkan sebuah pacuan empat roda merempuh sebuah motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri di Lebuhraya PLUS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di Lebuhraya PLUS berhampiran Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur semalam.

Mangsa, lelaki berumur 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka di buku lali, manakala isterinya, 49, cedera parah di kepala, patah buku lali serta tulang rusuk kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika pasangan terbabit menunggang motosikal berkuasa tinggi di lorong kiri menuju pusat bandar Kuala Lumpur.

“Sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dipercayai cuba memotong, namun gagal lalu melanggar motosikal mangsa dari arah kanan.

“Akibat pelanggaran itu, pasangan berkenaan tercampak ke atas jalan dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan pemantauan kesihatan rapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis pada pukul 6.55 petang hari yang sama.

Menurut Mohd. Zamzuri, suspek kini ditahan reman dua hari di Lokap Dang Wangi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farhad di talian 011-31903054 segera,” katanya.

Terdahulu, kejadian tular menerusi laman sosial selepas dimuat naik oleh penyanyi dan pempengaruh, Ariz Ramli atau Caprice yang menyuarakan kebimbangan awam.

Dalam video tersebut, Caprice mendakwa kenderaan terbabit mempunyai pelekat tertera tulisan ‘Polis Diraja Malaysia’ (PDRM) dan meminta pihak berkuasa tampil menjelaskan keadaan.

“Minta PDRM tolong siasat kes langgar lari ini. Menurut kawan kepada mangsa, trak pikap Navara ini ada pelekat dekat belakang yang tertulis PDRM.

“Harap-harap polis boleh cepat-cepat semak dan bantu. In syaa Allah. Takut orang awam salah guna stiker,” tulis Caprice dalam hantaran tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN