Staf UTeM maut, kereta dipandu bertembung kenderaan 4x4

Staf UTeM maut, kereta dipandu bertembung kenderaan 4×4

KEADAAN Perodua Kancil dipandu mangsa remuk selepas bertembung dengan Isuzu DMax dalam kemalangan di Jalan Simpang Gading, Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4X4) di Jalan Simpang Gading, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa, Fawwaz Amir Kamarudin, 38, yang merupakan Penolong Pendaftar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal ke Kesang Pajak.

“Setiba di lokasi, 4X4 jenis Isuzu DMax dari arah bertentangan cuba mengelak sebuah kereta Proton Waja yang tidak diketahui nombor pendaftarannya yang sedang memotong kereta dipandu si mati.

“DMax itu bagaimanapun hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan Kancil berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu pemandu Isuzu DMax berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penyelia kebun durian mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki kanan, manakala staf UTeM terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kami telah membawa pemuda tersebut ke Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk ujian saringan air kencing dan mendapati dia negatif dadah.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN