PETALING JAYA: Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dijangka mengekalkan kaedah pembayaran bulanan kepada penjawat awam yang bersara.
Kaedah pembayaran bulanan dilihat lebih proaktif dan selamat berbanding pengeluaran secara sekali gus memandangkan jumlah pesara kerajaan yang menjadi mangsa penipuan dalam talian amat membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Pada masa sama, cadangan itu juga dilihat lebih berkesan dalam membolehkan simpanan hari tua pesara kerajaan diuruskan dengan teratur.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, cadangan itu turut dipersetujui Kementerian Kewangan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Katanya, kedua-dua kementerian dan institusi kewangan pekerja itu terbabit dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Kita sedang drafkan supaya penjawat awam bagi lantikan tetap bercarum nanti akan terima bayaran bulanan sebagaimana pesara sekarang. Itu sudah boleh kita lakukan kerana ada persetujuan Kementerian Kewangan dan KWSP.
“Kita sudah maklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), jika dapat selonggok (pengeluaran sekali gus) ada pesara yang jadi mangsa scam padahal baru dua hari keluarkan duit, semuanya habis,” katanya ketika ditemui media selepas Program Bicara Figura: Menelusuri Aspirasi Memaknai Reformasi di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat Risda, di sini, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, berdasarkan draf yang sedang dirangka pihaknya, bayaran secara bulanan yang diberikan adalah berdasarkan keperluan tahunan pesara tersebut.
Manakala, katanya, baki simpanan selebihnya akan dilaburkan semula oleh KWSP supaya pesara dapat menerima dividen tahunan yang lebih menguntungkan.
“Jadi kita drafkan supaya mereka terima (bayaran) secara bulanan, katalah setahun keperluan mereka RM25,000, jadi selebihnya simpanan itu akan dilaburkan semula dalam KWSP, ini (lebih menguntungkan) kerana akan terima pula dividen setiap akhir tahun,” katanya.
Mulai 1 Disember 2024, SSM tidak lagi digunakan sebaliknya digantikan dengan SSPA yang diperkenalkan kerajaan berdasarkan persetujuan penjawat awam dan sehingga Disember tahun lalu, hanya 0.13 peratus daripada 1.5 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen SSPA yang tamat pada 30 November tahun sama. – UTUSAN