Buat tuntutan RM360 juta sedangkan projek lebuh raya tidak siap
PETALING JAYA: Empat individu termasuk Datuk dan Datuk Seri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin dipercayai membuat tuntutan kira-kira RM360 juta sedangkan kerja pembinaan lebuh raya di Lembah Klang tidak dilaksanakan mereka sepenuhnya.
Utusan Malaysia difahamkan, kesemua suspek daripada syarikat konsesi, syarikat kontraktor perunding kejuruteraan dan syarikat pemegang amanah sukuk itu telah mengemukakan tuntutan mengikut kemajuan kerja yang telah disiapkan walhal projek itu tidak berjalan.
Bukan itu sahaja, projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion yang sepatutnya siap 100 peratus pada 2019 namun hanya disiapkan 70 sehingga 80 peratus.
Susulan itu, SPRM telah bertindak merampas beberapa dokumen kewangan dan kontrak melibatkan projek lebuh raya itu untuk diteliti lebih lanjut.
SPRM juga dikatakan dalam proses mengesan aset-aset atau akaun milik kesemua individu terliba sama ada mempunyai kaitan dengan tuntutan yang dibuat.
Semalam, SPRM berjaya mendapat perintah reman selama empat hari terhadap semua individu berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Permohonan reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin ke atas kesemua mereka bermula sehingga 3 Mei ini.
Reman dibuat bagi kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kelmarin, semua suspek terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 hingga 70-an ditahan antara pukul 4 hingga 6 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal SPRM mendapati mereka dipercayai mengemukakan tuntutan palsu sekitar tahun 2016 hingga 2017.
Tuntutan berkenaan dikemukakan bagi mendapatkan pembayaran tidak sah berkaitan projek infrastruktur terbabit.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. – UTUSAN










