PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta milik bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Dr. Daim Zainuddin dan keluarga bernilai melebihi RM2 bilion.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, buat masa ini, harta dan aset berkenaan telah dibekukan.
Beliau berkata, tindakan susulan itu dicadangkan pihaknya biarpun bekas Menteri Kewangan itu telah meninggal dunia tahun lalu.
“Walaupun beliau sudah tiada, kami sedang menuju ke arah itu (melucutkan harta) dan kita sedang melihat harta-harta berkaitan yang tidak diisytiharkan pada satu ketika dahulu.
“Namun ia bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk bersetuju atau tidak. Tetapi kita ke arah itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, sebelum ini, pihaknya telah membuka lapan kertas siasatan berdasarkan maklumat-maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar berkaitan dengan harta-harta dimiliki arwah, keluarga dan proksi arwah.
Azam berkata, pihaknya juga memberi tempoh selama dua bulan kepada pegawai penyiasatnya bagi menjejaki pemilikan aset dan harta lain milik arwah yang belum diisytiharkan pada 2023.
“Jadi dalam kes ini saya telah memberi tempoh selama lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan berhubung dengan lapan kertas siasatan yang kita telah buka baru-baru ini,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, jumlah aset sebenar Allahyarham Tun Daim mungkin lebih tinggi selepas pihaknya mendapat maklumat dari luar negara.
“Antara negara-negara yang akan dilihat termasuk di Switzerland dan United Kingdom. Kita sekarang sedang berhubung dengan beberapa pihak berkuasa di negara luar (bagi mendapatkan maklumat berkenaan.
“Ia tidak mudah kerana kita perlu mengikut prosedur undang-undang seperti Mutual Legal Assistance (Bantuan Perundangan Bersama),” katanya. – UTUSAN