PETALING JAYA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meraih perhatian warganet apabila memuat naik video beliau menunjukkan bakat tariannya di akaun TikTok miliknya.
Menerusi hantaran tersebut, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin mahu mengikuti tarian yang dilakukan golongan muda iaitu ‘Like Jennie’ nyanyian asal Jennie Blackpink bersama penarinya.
“Hendak ikut trend anak muda sekejap,” katanya.
Hantaran tersebut mengundang perhatian warganet apabila penyanyi lagu Nirmala itu dikatakan melakukan tarian itu secara sopan.
“Sopannya Tokti sampai saya ingat Tokti menari zapin, comel betul,” kata warganet.
“Sebenarnya boleh sahaja Tokti menari versi asal, tetapi dia pilih untuk versi lebih sopan,” kata pengguna lain.
“Tokti macam tengah menari lagu Nirmala, sopan sangat,” kata peminat.
Video berdurasi 23 saat itu telah mencapai 1.8 juta tontonan, 116.3 ribu tanda suka dan 7,543 perkongsian setakat ini.
Terdahulu, Siti memaklumkan beliau bakal mengadakan konsert Violet Skies pada 5 dan 6 Julai ini bertempat di Arena of Stars, Resort World Genting serta konsert The Next Wave pada 26 Julai ini bertempat di Stadium Tertutup Singapura.
Beliau berkongsi perkara itu di akaun Tiktok miliknya.-UTUSAN