PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bukan bertujuan untuk mendapatkan kekebalan peribadi.
AGC menyifatkan rujukan tersebut sebagai soalan struktur mengenai tadbir urus Perlembagaan, bukan soalan mengenai kekebalan peribadi.
“Berdasarkan pemerhatian awal AGC, persoalan yang dirujuk tidak bertujuan untuk mewujudkan kekebalan mutlak kepada mana-mana individu.
“Sebaliknya, ia membangkitkan isu-isu Perlembagaan baharu yang belum pernah diputuskan sebelum ini, khususnya berkaitan hubungan antara litigasi sivil dan keupayaan seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan untuk melaksanakan fungsi eksekutif secara berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Anwar dilaporkan mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan beliau kekebalan bersyarat daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
Antara persoalan lain yang dirujuk termasuk sama ada tindakan undang-undang sivil terhadap seseorang sebelum beliau memegang jawatan boleh diteruskan, sekiranya ia menjejaskan keupayaannya untuk mentadbir serta sama ada Perlembagaan membayangkan wujudnya satu ambang kehakiman dalam situasi sedemikian.
Mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk semua pihak membuat permohonan lisan berhubung rujukan itu.
AGC turut menegaskan rujukan sebegini membolehkan mahkamah terutamanya Mahkamah Persekutuan memberikan keputusan muktamad terhadap isu undang-undang yang kompleks.
“AGC menghormati integriti mekanisme Perlembagaan ini dan akan menilai sebarang permohonan campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan sentimen berbaur politik,” katanya. – UTUSAN