PETALING JAYA: Malaysia berusaha untuk mengekstradisi bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner dari Amerika Syarikat (AS) susulan penglibatannya dalam skandal 1MDB.
Menurut laporan Wall Street Journal yang memetik sumber dan dokumen, Putrajaya telah mengemukakan permohonan ekstradisi kepada Jabatan Kehakiman AS pada Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, pada November, notis merah Interpol telah dikeluarkan menyebabkan Leissner berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana berisiko ditahan di mana-mana negara.
Laporan itu berkata, pihak berkuasa Malaysia mendesak agar dia diekstradisi sebelum kemungkinan kembali ke negara asalnya Jerman, bagi mengelak didakwa.
Selain itu, notis merah Interpol turut mendakwa bahawa Leissner melanggar undang-undang pasaran modal Malaysia, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.
Leissner yang berkhidmat sebagai pengerusi Goldman Asia Tenggara merupakan individu utama dalam urus niaga bon AS$6.5 bilion (RM30.875 bilion) untuk 1MDB antara 2012 dan 2013.
Pendakwa raya AS berkata, Leissner bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan rakan pegawai bank Goldman, Roger Ng untuk membayar lebih AS$1.6 bilion (RM7.6 bilion) rasuah kepada pegawai di Malaysia dan Asia Barat.
Pada 2018, Leissner mengaku bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah di AS kerana menerima wang sogokan antara AS$50 juta hingga AS$60 juta dan sedang menunggu hukuman sejak itu.
Hukuman terhadapnya yang telah ditangguhkan lebih 10 kali kini ditetapkan pada 29 Mei ini.
Ng yang disabitkan kesalahan di AS dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pula kini berada di Malaysia membantu penyiasat tempatan.
Dia dijangka memberi keterangan sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan rasuah 1MDB bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum dikembalikan ke tahanan AS.
Goldman Sachs dan Malaysia kini dalam pertikaian berhubung penyelesaian di mana mereka telah bersetuju untuk membayar AS$2.5 bilion (RM11.875 bilion) dengan jaminan untuk mendapatkan semula aset AS$1.4 bilion (RM6.65 bilion).
Bagaimanapun, Goldman Sachs memfailkan tuntutan timbang tara terhadap Malaysia pada 2023, dan proses itu sedang berjalan. – UTUSAN