Sindiket jual beli kad hadiah tumpas

Sindiket jual beli kad hadiah tumpas

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan menerusi jual beli kad hadiah atau gift card yang menyasarkan warga tempatan susulan penahanan enam individu dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Alma, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam serbuan itu, empat warga tempatan termasuk seorang wanita serta dua warga asing yang masing-masing terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan berusia antara 18 hingga 38 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket tersebut.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, sindiket itu dipercayai menggunakan aplikasi Telegram untuk memperdaya mangsa dengan menawarkan hadiah palsu melalui pembelian kad hadiah.

“Hasil siasatan mendapati, keempat-empat suspek tempatan ini mengakui bahawa mereka baru sahaja bekerja sebagai oeprator pusat panggilan telefon selama seminggu dengan gaji RM2,600 sebulan manakala dua warga asing yang ditahan pula dipercayai merupakan dalang utama sindiket ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Hamzah berkata, semakan terhadap pasport milik dua warga asing terbabit mendapati, mereka masuk ke negara ini pada 1 Mei lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Sindiket ini beroperasi dengan menerima maklumat mangsa daripada kumpulan Telegram yang dinamakan ‘Malay Telegroup 875’ dan operator kemudian akan menghubungi mangsa kononnya untuk menawarkan hadiah dan meminta mereka mengesahkan butiran peribadi.

“Maklumat itu (butiran peribadi) seterusnya diserahkan kepada pihak ketiga yang dipercayai dikendalikan oleh seorang pentadbir akaun Telegram yang disyaki beroperasi dari sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Tambah Hamzah, susulan penangkapan keenam-enam suspek itu, polis merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam kegiatan terbabit termasuk empat unit monitor komputer, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit modem WiFi, empat papan kekunci serta empat tetikus berjenama Popo.

“Turut dirampas ialah satu kad akses, satu gulung kabel internet, tiga buah meja lipat, empat buah kerusi pelbagai jenis serta empat unit fon kepala pelbagai jenama.

“Selain itu, wang tunai berjumlah RM5,000 yang terdiri daripada 100 keping wang kertas RM50, satu rangka kunci rumah bersama dua anak kunci dan empat keping resit pembelian turut dirampas untuk dijadikan bahan bukti,” katanya.

Jelas Hamzah, ketika ini, kesemua suspek telah direman selama tiga hari iaitu sehingga 16 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN