SEREMBAN: Seorang pengurus sebuah syarikat restoran didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan barang kawalan iaitu 1,241 kilogram (kg) minyak masak di premis yang tidak dilesenkan.
Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Orang Kena Saman (OKS), Das Jhonny Chandra, 38, selepas dia membuat pengakuan bersalah.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya OKS gagal membayar denda dan ekshibit dilucut hak kepada pihak pendakwaan serta pasport dikembalikan.
Mengikut pertuduhan, OKS yang merupakan warga Bangladesh telah didapati menyimpan barang kawalan iaitu minyak masak sebanyak 1,241 kg di dalam tong ‘jerry’ di premis yang tidak dilesenkan oleh pegawai bekalan untuk penyimpanan tersebut di sebuah hostel pekerja restoran di Dataran Sentral Seremban lebih kurang pukul 3.15 petang pada 26 April 2024.
Sehubungan itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam, A. Ashok dalam rayuannya memberitahu, anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak selain perlu menanggung ibu bapa yang sudah tua di Bangladesh.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd. Sanusi berkata, pindaan kadar denda daripada RM100,000 kepada RM1 juta yang diputuskan Parlimen menunjukkan ini adalah satu kesalahan serius.
Beliau turut memohon mahkamah melihat faktor kepentingan awam kerana dalam kes ini barang terlibat adalah barang kawalan minyak masak.
Tambah Nor Alimah, ketirisan barang kawalan adalah isu nasional yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan rakyat. – UTUSAN