Sikap sambil lewa majikan faktor isu PATI tidak selesai

Sikap sambil lewa majikan faktor isu PATI tidak selesai

ANGGOTA JIM Kedah melakukan serbuan dalam Op Gempur Bersasar bagi membanteras PATI di dua lokasi di Changlun dan Kuala Kedah hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen (JIM) Kedah mendedahkan bahawa sikap sambil lewa segelintir majikan dalam menguruskan dokumentasi pekerja asing menjadi antara punca isu warga asing tanpa izin masih berlaku.

Pengarahnya, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, kegagalan majikan memastikan pekerja yang diambil bekerja mempunyai dokumen sah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah golongan itu.

“Sebagai contoh, seseorang pekerja ada permit kerja yang sah dalam sektor pembuatan tetapi dia bekerja di sektor pembinaan, jadi apa yang kita nampak majikan tak ambil perhatian serius berkaitan undang-undang Imigresen untuk urus pekerja asing.

“Sebenarnya, dalam sektor pembinaan kena ada satu perjanjian iaitu Surat Anugerah (LoA) antara kontraktor utama dan sub kontraktor. Mungkin kontraktor utama hanya tahu ada pekerja tapi tidak tahu siapa pekerja itu.

“Jadi kalau tiada LoA itu kita akan siasat kontraktor utama untuk proses perundangan dan kalau LoA wujud kita akan tumpukan siasatan kepada sub kontraktor,” katanya selepas mengetuai Op Gempur Bersasar di sini, hari ini.

Mohd. Ridzzuan berkata, bahagian sumber manusia syarikat juga kurang cakna dalam perkara itu misalnya mengambil pekerja asing hanya berdasarkan maklumat lisan tanpa mengesahkan secara dokumen.

“Contohnya dalam operasi hari ini, kita jumpa nama lain tetapi dalam dokumen nama lain jadi mereka tidak periksa pekerja-pekerja itu. Ini akan memberi implikasi kepada majikan kerana apa sahaja pengambilan pekerja asing mereka perlu cakna,” katanya.

Justeru, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan Imigresen akan ditumpukan kepada majikan selepas ini kerana operasi terhadap pekerja tidak memberi kesan terhadap isu PATI.

“Majikan ada implikasi besar dalam konteks kompaun dan denda, jadi sekarang ini kita fokus pendakwaan majikan ke mahkamah. Sebelum ni fokus pada PATI sahaja, sekarang ada faktor lain yang sumbang iaitu sikap majikan,” katanya.

Sementara itu, seramai 64 PATI warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh berusia antara 18 hingga 40-an telah ditahan di dua tapak pembinaan di Changlun dan Kuala Kedah, hari ini.

“Dalam serbuan bermula 10.30 pagi itu, pelbagai kesalahan dikesan iaitu Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pas dan tinggal lebih masa serta Peraturan 39B, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 akibat salah guna pas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN