KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilihat ‘goyang’ ketika ini selepas ‘orang kuatnya’ tewas dalam Pemilihan PKR peringkat cabang baru-baru ini, menimbulkan persoalan apakah beliau masih lagi relevan untuk mengekalkan jawatan sebagai timbalan presiden parti.
Keputusan itu menunjukkan Rafizi mula hilang sokongan di peringkat akar umbi namun, sekiranya beliau masih meneruskan hasrat untuk mengekalkan jawatan yang sama, ada kemungkinan besar beliau akan tewas dan akan menanggung malu yang lebih besar.
Ini kerana Rafizi juga merupakan menteri dalam Kabinet yang memegang portfolio Ekonomi. Bahkan, wujud dakwaan yang beliau sebelum ini ‘bercuti’ sebagai tanda ugutan disebabkan orangnya tewas dalam pemilihan tersebut. Namun, difahamkan beliau sudah mula masuk semula ke pejabat semalam.
Beliau juga tidak menghadiri persidangan khas Parlimen berhubung isu tarif sehingga tindakan tersebut dipersoal ahli Parlimen pembangkang. Malah, salah seorang menteri turut mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu turut ‘menghilang’ daripada mesyuarat Kabinet.
Dalam keadaan ini, ia memberi ruang kepada ahli PKR lain untuk merebut jawatan tersebut, antara nama yang berpotensi memegang jawatan tersebut ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam pemilihan sebelum ini, Saifuddin tewas di tangan Rafizi, namun kesetiaan beliau selama lebih 14 tahun sebagai setiausaha agung menjadi bukti komitmen terhadap perjuangan reformasi.
Beliau juga kekal menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri, Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah dan terus mempertahankan idealisme parti tanpa bermain politik fraksi.
Nama Nurul Izzah Anwar juga antara yang disebut dan dilihat berpotensi memegang jawatan Timbalan Presiden PKR dengan baik memandangkan semua menjadi saksi yang beliau mengambil alih parti semasa bapanya dipenjarakan.
Nurul Izzah dilihat lebih memahami selok belok parti dan boleh diangkat sebagai antara pemimpin wanita masa hadapan sebagaimana negara-negara luar mengangkat wanita sebagai pemimpin utama.
Meskipun sebelum ini beliau difahamkan akan bertanding jawatan Naib Presiden, semua boleh berubah di saat-saat akhir sebelum tarikh tutup menghantar borang pencalonan pada 9 Mei ini. Lagi pula, anak sulung Perdana Menteri itu mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.
Dalam masa yang sama, antara nama lain yang turut disebut adalah Datuk Seri Amirudin Shari, juga dilihat antara yang mampu menggalas tanggungjawab menggantikan Rafizi.
Kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor memberi kelebihan buatnya, apatah lagi berjaya menyelesaikan beberapa konflik dan yang terbaharu melibatkan insiden kebocoran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Siapa pun akhirnya yang memegang jawatan itu diharap dapat melaksanakan tugas dengan baik, tidak beremosi dan tidak mengambil keputusan secara kebudak-budakan. Ini kerana PKR bukan lagi sebuah parti pembangkang, sebaliknya merupakan sebahagian parti Kerajaan Perpaduan yang membawa aspirasi negara.
Ekoran bakal berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak lama lagi, barisan kepemimpinan PKR perlu lebih berkualiti bagi membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Presiden bagi memperkukuh parti dan mengekalkan momentum sebagai kerajaan pada penggal berikutnya.
Kerana itu penting bagi akar umbi memilih pemimpin yang benar-benar berkaliber dalam setiap tindakan. Ikutlah resmi padi makin berisi makin tunduk ke bumi. – UTUSAN










