KUALA LUMPUR: Seorang bekas model yang pernah tular kerana menanggalkan pakaiannya di Jalan Petaling dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Norma Ismail terhadap bekas peserta Dewi Remaja, Persana Avril Sollunda, 43, setelah gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan berkaitan kes memuat naik sijil nikah palsu dengan seorang kerabat diraja.
Permohonan waran tangkap dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hanif Ahijman.
“Berdasarkan maklumat pegawai penyiasat, wanita itu tiada di mahkamah bagi mendengar pertuduhan (yang sepatutnya) dibacakan pada pukul 9 pagi sedangkan saman terhadap wanita itu diserahkan sendiri pada 29 April lalu.
“Memandangkan dia tidak hadir ke mahkamah pada hari ini, pendakwaan memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” katanya.
Selepas membenarkan permohonan tersebut, mahkamah menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan waran tangkap terhadap Persana Avril.
Wanita itu sepatutnya menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik sijil perkahwinan palsu dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di akaun TikTok pada Februari tahun ini.
Pada Mac lalu, dia telah ditahan untuk disoal siasat oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu tetapi telah dibebaskan selepas itu.
Pada 20 Januari 2016, Persana Avril pernah dilepas dan dibebaskan dengan bon berkelakuan baik dan jaminan RM4,000 oleh Mahkamah Majistert di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan lucah di Jalan Petaling pada 23 April 2015.
Pada 10 Januari 2023 pula, wanita terbabit didenda RM20 oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah selepas mengaku salah atas pertuduhan menimbulkan kekacauan dan mabuk di sebuah restoran pada 5 Januari tahun sama. – UTUSAN