Sijil halal dua hotel di Banda Hilir ditarik serta-merta

Sijil halal dua hotel di Banda Hilir ditarik serta-merta

RAHMAD MARIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara menganjurkan ‘parti arak’, dua buah hotel bertaraf lima bintang di Banda Hilir di sini ditarik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan serta-merta dua minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil selepas hasil serbuan mendapati ‘parti arak’ yang dianjurkan oleh dua buah hotel berkenaan telah menggunakan peralatan yang sama dengan dapur yang telah diberikan pensijilan halal.

Menurutnya, sijil SPHM ditarik serta-merta kerana semasa pemantauan dilakukan didapati peralatan bukan halal seperti bekas arak digunakan dan tindakan yang diambil di bawah klausa 32(3)(a)(ii) Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia Domestik 2020 (MPPHM 2020).

“Semasa membuat pemantauan ada peralatan-peralatan bekas minuman arak didapati bercampur gaul dengan peralatan dapur yang telah diberikan pensijilan halal dan mereka mengadakan ‘parti arak’ dan sekali gus melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

“Sijil halal dua hotel berkenaan ditarik balik serta-merta dan mereka mengakui kesilapan yang telah dilakukan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, bagaimanapun pihak hotel berkenaan boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh tiga bulan berhubung tindakan yang telah diambil.

Menurutnya, jika JAIM berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh hotel berkenaan barulah sijil halal yang diperoleh lima tahun itu akan dikembalikan semula.

“Tetapi ada syarat yang perlu mereka lakukan iaitu memberi jaminan bahawa tiada lagi kejadian seumpama itu berulang semula selepas ini,” ujarnya.

Ujarnya, itu merupakan kesalahan pertama dilakukan oleh hotel bertaraf lima bintang dan setakat ini pihak terbabit belum mengemukakan sebarang permohonan baharu pensijilan halal SPHM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN