PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal, susulan penutupan berperingkat beberapa laluan kendaliannya sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung minggu ini.
PLUS memaklumkan, penutupan laluan dilakukan bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi antarabangsa selaras dengan arahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Penutupan berperingkat akan dilaksanakan bermula 23 hingga 26 Mei bermula pukul 7 pagi serta pada 28 Mei bermula pukul 8 pagi.
“Antara laluan yang terlibat adalah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Putrajaya melalui Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).
“Selain itu, laluan Subang ke Jalan Duta menerusi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan laluan Sungai Buloh ke Jalan Duta di Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya dalam kenyataan.
PLUS memaklumkan, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran trafik di semua laluan terlibat dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa, khususnya anggota trafik sepanjang tempoh sidang kemuncak itu.
“Pengguna lebuh raya yang menuju ke atau dari KLIA serta Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan,” katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa dan petugas trafik di lokasi serta mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Untuk maklumat trafik terkini, pengguna boleh merujuk aplikasi PLUS, media sosial rasmi JSPT/PDRM, akaun X @PLUSTrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lebuh raya atau menggunakan aplikasi pandu arah seperti Google Maps dan Waze untuk merancang perjalanan dengan lebih efisien.
Sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penutupan jalan dilaksanakan bermula 23 hingga 28 Mei ini melibatkan laluan masuk dan keluar ke lokasi-lokasi utama khususnya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Istana Negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dijangka menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama rantau Asia Tenggara dalam usaha membincangkan pelbagai isu serantau termasuk ekonomi, keselamatan dan kerjasama strategik antara negara-negara anggota. – UTUSAN