PETALING JAYA: Pemimpin negara Asia Tenggara mula berkumpul di ibu negara hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 hari ini.
Acara hari ini bermula dengan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 (Pleno) diikuti sesi perbincangan (pemukiman) dengan perbincangan berkisar soal isu dan cabaran semasa.
Di samping itu, acara lain yang akan diadakan ialah Sesi Dialog Pemimpin ASEAN bersama Wakil Parlimen ASEAN yang ditetapkan untuk menyediakan platform strategik bagi menyelaras keutamaan serantau menerusi tadbir urus inklusif dan pelbagai pihak.
Perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Belia ASEAN juga akan berlangsung esok, yang menggalakkan penyertaan belia dalam agenda pembangunan rantau ini.
Satu lagi mesyuarat penting ialah Perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), yang dijangka membincangkan lebih lanjut mengenai kenaikan tarif AS, strategi untuk meningkatkan kemudahan perdagangan dan pelaburan, serta transformasi digital.
Acara kemuncak hari ini adalah majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, menandakan pencapaian strategik yang akan membimbing fasa pembangunan komuniti dan kepimpinan serantau ASEAN seterusnya.
Hari dengan jadual padat itu akan diakhiri dengan Majlis Makan Malam Gala yang dihoskan oleh Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu, setelah mempengerusikannya sebelum ini pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN, dua mesyuarat peringkat tinggi utama – Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan – akan berlangsung pada hari Selasa, yang menjadi platform penting untuk memperluaskan kerjasama serantau dan antara wilayah. – UTUSAN