PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock, kira-kira 15 tahun lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, ia selepas merujuk kepada Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 November 2024 yang dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 17 April lalu setelah siasatan dilengkapkan.
“Oleh itu, Pejabat Peguam Negara telah membuat keputusan supaya kertas siasatan ini NFA atau Kemas Untuk Simpan (KUS) pada 19 Mei lalu.
“Keputusan itu setelah meneliti keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa juga kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang,” katanya.
Razarudin memberitahu, satu notis pemakluman keputusan kes telah dimaklumkan kepada peguam keluarga Beng Hock iaitu Ramkarpal Singh melalui surat dan e-mel bertarikh 20 Mei 2025 pada pukul 3.58 petang.
“Pemakluman itu dikeluarkan oleh Ketua Pasukan Siasatan, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Selangor,” jelasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan bersetuju untuk polis membuka semula siasatan kes kematian Beng Hock.
Beng Hock ditemui maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah yang pada masa sama merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh, serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kes kematiannya.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat bunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock, sekali gus memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Susulan itu, pada 4 Februari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya akan menggunakan teknologi pengimbas tiga dimensi (3D) untuk crime scene reconstruction dalam usaha siasatan semula kes kematian Beng Hock.
Peralatan itu digunakan bagi mendapatkan semula gambaran lokasi kejadian. – UTUSAN