KLUANG: Tindakan seorang lelaki warga asing ditembak mati selepas menyerang anggota polis menggunakan parang dalam kejadian di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Palembang Baru, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kejadian pada pukul 3.45 pagi itu bermula selepas suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan dengan menunggang sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran di kawasan Kampung Palembang.
Pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor kemudiannya mengekori rapat motosikal yang ditunggang laju sebelum berjaya dipintas di jalan tidak berturap menghala ke kebun kelapa sawit di kampung tersebut.
“Semasa menghampiri kenderaan dinaiki suspek, secara tiba-tiba suspek menyerang dengan cara melibas parang sehingga mengenai lengan salah seorang anggota pasukan.
“Polis mengarahkan suspek memberikan kerjasama dan menyerah diri, namun terus bertindak agresif dan menyerang polis secara bertubi-tubi menyebabkan tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri dan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, namun identiti sebenarnya masih belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersamanya.
Polis merampas sebilah parang, wang tunai sebanyak RM1,900, dua unit telefon bimbit dan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dilaporkan hilang di Kulai.
“Hasil maklumat dan risikan, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah samun sejak 2024 dan kejayaan ini dipercayai dapat menyelesaikan enam kes samun dengan lima daripadanya di Kluang dan satu di Kota Tinggi,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN