Seperti nama lelaki, Billie Eilish pernah benci namanya sendiri - Utusan Malaysia

Seperti nama lelaki, Billie Eilish pernah benci namanya sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penyanyi antarabangsa, Billie Eilish mengakui pernah membenci namanya sendiri sewaktu kecil kerana sering diejek mempunyai nama seperti budak lelaki.

Menerusi temu bual bersama majalah British Vogue, Billie atau nama sebenarnya Billie Eilish Pirate Total O‘Connell, berkongsi perasaannya apabila pelakon, Idris Elba bertanya bagaimana perasaannya membesar dengan nama ‘Billie’.

Kongsi Billie, dia tidak suka namanya sewaktu kecil dan berharap dia mempunyai nama yang lebih feminin.

“Saya sangat benci nama itu ketika kecil. Saya selalu dengar orang cakap Billie itu nama lelaki.

“Saya ingat lagi waktu itu saya sangat marah dan pernah berharap nama saya lebih feminin seperti Violet atau Lavender,” katanya.

Tambahnya, dia mulai menerima nama tersebut dan tidak dapat membayangkan apa-apa nama lain yang bersesuaian dengannya.

“Bagi saya perkara itu sangat kelakar kerana sekarang, tiada nama lain yang sesuai dengan saya selain Billie. Saya sangat suka nama itu,” katanya.

Selain itu, Billie berkata dia dinamakan sempena datuknya yang bernama Willian dan lebih yakin selepas menyedari pelakon kegemarannya mempunyai nama yang sama sepertinya.

“Wanita pertama bernama Billie yang saya kenali adalah Billie Piper daripada Doctor Who. Saya sangat teruja tentang perkara itu.

“Tapi dalam masa yang sama, saya cemburu dan marah kerana kenapa orang lain panggil nama saya tetapi hendak maksudkan orang lain. Saya tidak boleh terima,” katanya berseloroh.

Dalam sesi yang sama, Billie mengulas tentang ketidakselesaannya dalam mengekspresikan sisi kewanitaannya dalam industri muzik, yang menurutnya agar sukar.

“Saya tidak pernah berasa cantik atau melihat saya seperti itu. Saya perlu yakinkan diri saya bahawa saya cantik dan bagi saya menjadi seorang wanita itu memang susah.

“Saya pernah hilang berat badan secara mendadak beberapa tahun lalu dan ketika itu, saya sangat tidak gembira,” jelasnya.

Pada 12 April lalu, Billie turut membuat kemunculan mengejut di festival muzik Coachella 2025 bersama Charli XCX untuk mempersembahkan lagu duet mereka, Guess, yang turut menerima pencalonan Grammy bagi kategori Persembahan Duo/Kumpulan Pop Terbaik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN