Sembunyi di ruang sempit elak ditahan 

Sembunyi di ruang sempit elak ditahan 

MOHD. Yusri Mohd. Nor (berdiri, dua dari kanan) ketika memeriksa pekerja asing di sebuah tapak pembinaan bangunan di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu. -UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tindakan seorang wanita warga Indonesia sembunyi di ruang sempit dalam cubaan melarikan diri, gagal mengaburi mata anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang memberkasnya menerusi Op Gempur Sasar di sebuah tapak pembinaan bangunan di Bandar Baru Kijal, di sini, hari ini,

Wanita berusia 50 tahun itu berasal dari Jawa, Indonesia itu berkata, dia yang bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan itu takut dengan kehadiran pihak berkuasa kerana tidak memiliki sebarang permit. 

“Saya tahu saya ‘kosong’ (tiada permit), saya tak fikir nyawa, saya takut ditahan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Sementara itu, Pengarah JIM Terengganu, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata, Op Gempur  bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang yang melibatkan kekuatan 21 anggota Imigresen itu menahan 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 21 hingga 52 tahun, atas pelbagai kesalahan. 

“Menerusi serbuan hari ini, kita memeriksa seramai 118 warga asing dan tempatan. Daripada jumlah itu, seramai 39 PATI iaitu 35 daripadanya adalah warga Bangladesh, tiga warga Indonesia dan seorang Pakistan  ditahan. 

“Kita melakukan operasi ini hasil aduan daripada orang ramai dan risikan yang dilakukan dalam tempoh seminggu. Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki dokumen yang sah, tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan,” katanya.

Mohd. Yusri berkata, JIM Terengganu menahan 510 PATI menerusi 220 operasi sejak Januari lalu dan seramai 21 majikan  diambil tindakan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN