Selesai bayar ikat jamin, pemandu lori ditahan semula kes curi lembu - Utusan Malaysia

Selesai bayar ikat jamin, pemandu lori ditahan semula kes curi lembu

RUDI Zulkarnain Mat Radi (tengah) ditahan selepas membayar ikat jamin di Mahkamah Teluk Intan hari ini bagi membantu siasatan kes curi lembu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Baru selesai diikat jamin, pemandu lori muatan batu yang menghadapi pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu, ditahan semula sebentar tadi.

Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, ditahan semula ketika berada di pejabat kaunter pembayaran jamin oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk.

Dia ditahan kira-kira 20 minit selepas diikat jamin pada pukul 12 tengah hari.

Proses membayar ikat jamin berjumlah RM6,000 itu dilakukan majikan lelaki itu dikenali sebagai Ravi, 58, dan jiran sekampung lelaki itu dikenali sebagai Roslan, 62.

Masing-masing membayar jaminan berjumlah RM4,000 dan RM2,000.

Penahanan semula lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes curi lembu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada April lalu.

Jumaat lalu di Mahkamah Majistret Teluk Intan, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kepada S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34, dan Amiruddin Zabri, 38.

Turut terkorban, Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada pukul 9 pagi, 13 Mei 2025.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kesemua pertuduhan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN