TELUK INTAN: Isteri kepada mendiang Koperal Nurit Pandak, 34, menerima ketentuan takdir kehilangan suami dan anak dalam tempoh singkat iaitu kurang dua tahun.
Jowissemborisxs Bah Johan, 36, berkata, suaminya telah bertugas lebih 10 tahun sebagai anggota polis.
“Kami sudah berkahwin selama empat tahun. Sebelum ini, kami ada anak perempuan tetapi meninggal dunia pada tahun lepas (Februari 2024) kerana masalah jantung.
“Kini dia (Nurit) pula meninggalkan saya dan keluarga. Ini memang amat menyedihkan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) di sini hari ini.
Kejadian tragis yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pagi ini berpunca daripada rempuhan lori yang membawa muatan batu di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata, kejadian berlaku ketika tujuh konvoi kenderaan FRU dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak.
Bagaimanapun, katanya, kenderaan membawa 18 anggota yang berada pada kedudukan kelima konvoi itu telah dirempuh lori membawa muatan batu.
Jowissemborisxs berkata, mendiang suaminya sememangnya meminti kerjaya sebagai anggota polis dan kehilangan anak perempuannya tidak menjadikannya parah semangat.
“Siapa yang tidak sedih dengan kehilangan anak perempuan. Namun, dia sedih tidak lama dan menerima ketentuan itu sebaiknya.
“Kini, saya terpaksa menerima kehilangannya setelah hidup bersama selepas lebih empat tahun,” katanya. – UTUSAN