Selangor arah PBT rampas, sita iklan produk vape

Selangor arah PBT rampas, sita iklan produk vape

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas dan menyita iklan berkaitan produk rokok elektronik (vape) sama ada secara fizikal atau digital.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, perkara itu diputuskan menerusi satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan beliau mengenai cadangan pengharaman penjualan vape, baru-baru ini.

Jelas beliau, pihaknya meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan serta pemantauan.

“Sementara menunggu keputusan muktamad, mesyuarat memutuskan semua PBT segera bertindak merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk vape di mana-mana medium pengiklanan, sama ada fizikal mahupun digital.

“Tindakan itu selaras Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan produk berkenaan,” katanya hari ini.

Mesyuarat khas itu turut dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsuddin, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), PBT dan pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Menurut Jamaliah, kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat lanjutan dalam masa terdekat bagi membincangkan pilihan dasar yang wajar dipertimbangkan sebelum cadangan akhir dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Kita komited dalam melindungi kesihatan awam rakyat terutama generasi muda, daripada ancaman vape yang semakin membimbangkan.

“Kerajaan negeri mahu memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang,” katanya.

Tambah beliau, isu penjualan secara dalam talian turut dibincangkan berikutan ia sukar dikawal dan kerap menjadi saluran utama kepada remaja mendapatkan produk itu.

“Penggunaan vape dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan ketara dan mencetuskan keperluan mendesak untuk tindakan proaktif di peringkat negeri.

“Berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, dianggarkan hampir 14.9 peratus remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun di Malaysia adalah pengguna vape dan statistik itu membimbangkan,” katanya.

Utusan Malaysia pada 18 April lalu melaporkan, kerajaan negeri akan meneliti cadangan pengharaman vape yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik termasuk ‘fentanyl’ atau dadah zombie.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum itu menegaskan, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualannya kerana lesen perniagaan itu berada di bawah PBT.

Ini kerana, ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan apabila terdapat pelajar seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape dicampur dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN