KUALA LUMPUR: Program Sekolah Patriotik UMNO (SPU) berkesan melahirkan belia berjiwa negara apabila seramai 48 pelajar kumpulan pertama berjaya menamatkan pengajian mereka hari ini.
Majlis penyampaian sijil konvokesyen julung kalinya itu mencerminkan usaha berterusan UMNO dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja celik politik, tetapi juga teguh jati diri dan cinta pada negara.
Ketua Pelajar Sekolah Patriotik UMNO , Ameerul Zafran Saiful Amir berkata, mereka bukan sekadar pelajar, tetapi pejuang muda yang diasuh untuk memahami makna sebenar perjuangan dalam UMNO.
“Kami dibentuk secara holistik merangkumi aspek rohani, jasmani dan intelektual agar menjadi pemimpin yang seimbang dan bersedia menyambung perjuangan.
“Perjuangan dalam UMNO bukan semata-mata berkisar kepada kuasa dan politik, sebaliknya menuntut keikhlasan, amanah serta tanggungjawab untuk membina masa depan bangsa dan negara,” katanya pada sambutan UMNO ke-79 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Naib Presiden, Datuk Seri Johari Ghani.
Dalam pada itu, Ameerul turut menjelaskan bahawa program ini dapat membuka mata peserta tentang peranan sebenar seorang pemimpin muda dalam konteks perjuangan nasional.
“Kami bangga menjadi sebahagian daripada sejarah ini dan bersedia menyambung legasi perjuangan parti dengan penuh semangat dan komitmen.
“Majlis konvokesyen ini bukan penutup, sebaliknya titik mula kepada episod baharu dalam perjuangan kami sebagai pelapis generasi,” katanya.
Pada 26 Januari, Sekolah Patriotik UMNO telah ditubuhkan dan Naib Presiden UMNO,Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO (SPU).
Penyertaan PATRIOT 1 ini melibatkan penyertaan 50 pelajar terpilih dari seluruh negara daripada pelbagai latar belakang yang menjalani latihan selama 12 minggu.-UTUSAN