Sekolah agama anak yatim perlu dana pembangunan

Sekolah agama anak yatim perlu dana pembangunan

ABDUL Hady Sibaweh (empat dari kiri) bersama mudir dan penduduk tempatan berada di hadapan kelas yang ingin dinaik taraf sebagai bangunan asrama bertingkat di Satyatim, Kampung Jerek Baru, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sekolah Agama Tahfiz Anak Yatim dan Miskin (Satyatim) yang diuruskan secara persendirian oleh penduduk di Kampung Jerek Baru di sini berkemungkinan terpaksa ditutup, kerana tidak mampu menampung kos operasi.

Sebelum ini, Satyatim yang ditubuhkan sejak 17 tahun lalu di tapak bangunan terbiar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerek, beberapa kali bertukar pemilik kerana masalah sumber kewangan.

Pengerusi Satyatim, Abdul Hady Sibaweh, 64, berkata, isu kekurangan dana bukan sahaja menghalang pembangunan sekolah, tetapi menyebabkan mereka tidak dapat menerima bilangan pelajar yang ramai.

Katanya, setiap bulan Satyatim memerlukan dana berjumlah RM10,000 bagi pe­ngurusan perbelanjaan termasuk gaji guru.

“Sebelum ini wang sumbangan yang diterima daripada orang ramai telah digunakan untuk membaik pulih kelas, bilik tetamu, ruang pejabat, asrama, surau, dapur dan kantin. Dahulu kita mempunyai lebih 100 pelajar, namun selepas pandemik Co­vid-19 bilangan pelajar semakin berkurangan,” katanya.

Satyatim beroperasi selepas mendapat kelulusan tapak da­ripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Sementara itu, Mudir Satyatim, Mohd. Razali Ab. Ghani, 42, berkata, pihaknya mahu menambah baik kemudahan termasuk membina asrama bertingkat untuk pelajar.

Katanya, asrama sedia ada yang hanya mampu menempatkan 12 pelajar lelaki berusia lapan sehingga 15 tahun berada dalam keadaan serba kekurangan dan perlu dinaik taraf.

“Kami telah melahirkan beberapa pelajar yang bergelar al-hafiz dan sekarang telah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Ketika ini, seramai lima anak yatim dijaga dan dididik di sini secara percuma. Pelajar paling jauh datang dari Kedah,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh me­nyalurkannya ke akaun Bank Rakyat, Satyatim bernombor 1101055682. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN